PULAU PINANG, 29 Jul – Satu sistem sokongan yang menyeluruh disifatkan sangat kritikal untuk diwujudkan bagi membolehkan golongan wanita memberi tumpuan di sektor kerjaya, khususnya ketika mereka berdepan dengan kepentingan menguruskan keluarga.
Pengarah Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita (Kanita), Profesor Datin Rashidah Shuib berkata, sistem sokongan tersebut sangat diperlukan bagi memberi ruang kepada golongan wanita menyumbang dengan lebih baik di sektor kerjaya.
Katanya, antara langkah yang boleh direalisasikan meliputi dua teras utama termasuk menyediakan satu kemudahan untuk membolehkan wanita meletakkan anak di bawah jagaan pihak profesional di tempat kerja.
Katanya, langkah kedua adalah dengan mewujudkan satu polisi khusus yang melihat kepada kepentingan mesra keluarga yang memberi ruang kepada wanita untuk menjalankan kedua-dua tanggungjawab kerjaya dan keluarga tanpa didiskriminasi.
Isu keluarga adalah sangat penting untuk diberi penumpuan kerana anak-anak kecil ini juga adalah aset kepada negara satu hari nanti. Ia terbukti apabila negara yang mempunyai kadar kelahiran yang rendah kini sedang berdepan dengan masalah besar.
“Justeru, langkah yang lebih efektif dan berhemah perlu diambil dalam menangani isu ini supaya pada akhirnya negara beroleh manfaat daripada satu sistem yang memberi fleksibiliti kepada semua pihak,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran seminar bersama di antara USM dengan Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), Indonesia berkenaan topik Towards Good Governance & Leadership: Decent Livelihood For Women yang dirasmikan Pemangku Naib Canselor, Prof. Dato’ Susie See Ching Mey di sini hari ini.
Tambah beliau, statistik menunjukkan penurunan mendadak bilangan wanita yang menyumbang dalam sektor kerjaya apabila mereka melewati umur 28 ke 30 tahun.
Katanya, faktor utama yang menyumbang kepada penurunan itu disebabkan golongan wanita terpaksa menguruskan infrastruktur untuk menyokong pembangunan keluarga yang turut disifatkan tidak kurang penting untuk masa depan negara.
“Justeru, kekangan ini menyebabkan wanita terpaksa korbankan kerjaya mereka dan ini menjadi satu kerugian buat negara khususnya dari aspek tenaga kerja mahir yang mempunyai kelayakan akademik lebih tinggi.”
“Jika kita lihat di universiti bilangan wanita diketahui lebih dari lelaki namun apabila sampai satu tahap setelah mereka memasuki alam kerjaya, jumlah ini menurun dan satu langkah proaktif perlu diambil bagi menangani isu ini,’’ katanya.
Sementara itu, Susie pula dalam ucapannya berkata, seminar sehari itu dilihat satu usaha yang baik khususnya dalam melihat dengan terperinci isu-isu yang berhubungkait dengan peranan wanita dalam aspek kepimpinan dan tadbir urus dalam sesebuah organisasi.
Katanya, peranan universiti khasnya akademia bukan sekadar melihat isu ini sebagai satu ilmu semata-mata, sebaliknya mereka perlu menggunakan penemuan dan pengetahuan untuk membantu negara menangani setiap permasalahan melibatkan isu gender.
“Malaysia dan Indonesia mempunyai banyak persamaan khususnya dalam isu yang dibincangkan dan diharap melalui seminar ini, kedua-dua pihak dapat membuat satu rumusan yang memberi manfaat kepada negara,” katanya.